PARI gergasi yang ditangkap di perairan Sibuti, Miri.
PARI gergasi yang ditangkap di perairan Sibuti, Miri.
Kandau Sidi


250 kilogram (kg). Itu berat seekor ikan pari gergasi yang berjaya ditangkap nelayan, Mazelen Wan, 34, berasal dari Kuala Sibuti di sini, Ahad lalu.

Kejayaan itu sekali gus memberikannya rezeki terpijak apabila hasil tangkapannya dijual pada harga tinggi pada peraih.

“Pada awalnya, saya cuba mahu memukat udang halus, lebih-lebih lagi sekarang musim spesies udang berkenaan terutama di perairan wilayah utara Sarawak.

“Namun, tidak sangka saya memperoleh tangkapan besar apabila ikan pari gergasi terperangkap dalam pukat yang saya pasang,” katanya di sini, semalam.

Disebabkan saiznya yang besar, ikan berkenaan terpaksa ditunda menggunakan bot kecil digunakannya ke tepi pantai sebelum dinaikkan ke darat, seterusnya dijual kepada peraih.

“Ini tangkapan terbesar pernah saya peroleh sepanjang menjadi nelayan. Saya tidak sangka ikan pari gergasi boleh terjerat dalam pukat saya.

“Mulanya, saya menyangka pukat penuh dengan udang namun apabila pukat dinaikkan, memang saya terkejut mendapati seekor ikan pari besar terperangkap,” katanya.

Mazelen berkata, beliau terpaksa mendapatkan bantuan beberapa rakan untuk menarik ikan berkenaan ke daratan.

“Di Perairan Sibuti sebelum ini, memang pernah saya mendengar kisah pemancing menaikkan ikan pari yang besar, tetapi beratnya kurang 100kg.

“Ikan pari yang saya peroleh ini adalah rekod tangkapan baru bagi nelayan di Kuala Sibuti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 7:00 AM