MOHD Helmi bersama dua daripada empat anaknya yang terpaksa tidur di dalam kereta Perodua Myvi susulan fenomena air pasang besar bermula sejak semalam. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
MOHD Helmi bersama dua daripada empat anaknya yang terpaksa tidur di dalam kereta Perodua Myvi susulan fenomena air pasang besar bermula sejak semalam. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: "Saya sekeluarga terpaksa tidur dalam kereta kerana risau fenomena air pasang besar yang bermula sejak semalam," kata penduduk Kampung Sungai Janggut, Jeram, di sini, Mohd Helmi Husin.

Mohd Helmi, 48, berkata, dia dan isteri, Zareni Mohd Yop, 36, bersama empat anak menjadikan kereta Perodua Myvi sebagai tempat tinggal sementara susulan rumah mereka dinaiki air sedalam 0.5 meter pada 5.30 pagi, hari ini.

Menurutnya, rumahnya dan beberapa rumah lain sering dinaiki air jika fenomena itu berlaku dan tidak menyangka akan tinggal sementara di dalam kereta bersama keluarga.

"Sebelum ini, saya hantar isteri dan anak ke rumah anak sulung di Klang beberapa hari sebelum kejadian (air pasang besar).

"Namun, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), mereka terkandas di sini bersama saya.

"Saya terkilan kerana perkakas rumah seperti mesin basuh, perabot dan peti sejuk serta barangan keperluan sekolah anak yang diletakkan di tempat tinggi rosak ditenggelami air," katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, fenomena air pasang besar itu antara yang paling buruk pernah dialaminya sejak sembilan tahun menetap di kampung berkenaan.

"Dalam setahun, fenomena (air pasang besar) berlaku antara tiga hingga empat kali berikutan kawasan ini berdekatan dengan laut.

"Justeru, saya merayu pihak berkuasa bertindak segera bagi mengatasi perkara ini selain membantu penduduk yang mengalami banyak kerosakan rumah serta barang," katanya.

Penduduk, Saiful Hazri Sulaiman, 33, berkata dia menyedari air mula naik sekitar 6 pagi dan tidak menyangka ia memasuki bahagian dalam rumah.

"Ini kali pertama air masuk ke dalam rumah dan saya tidak sempat selamatkan barangan seperti perabot dan peti sejuk kerana terlalu memikirkan keselamatan diri serta keluarga.

"Kami keluar dan terus menuju ke jalan utama dan selepas keadaan reda, saya hubungi bomba untuk mengepam air keluar dari rumah pada 7 pagi," katanya.

Air pasang besar hari ini mencatatkan paras tertinggi iaitu 5.8 meter berbanding 5.7 meter direkodkan semalam.

Fenomena ini dijangka berakhir pagi esok dengan ketinggian paras air laut pada 5.7 meter pada 7.27 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 2:16 PM