JENNIFER Savage, 64, menunjukkan tembok yang dibuat pada minggu lalu. FOTO Nuraliawati Sabri
JENNIFER Savage, 64, menunjukkan tembok yang dibuat pada minggu lalu. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri


Melaka: "Habis semua perkakas rumah ditenggelami air. Tiada apa sempat diselamatkan," luah penduduk, Jennifer Savage, 64, yang terjejas akibat fenomena air pasang besar.

Fenomena air pasang besar yang berlaku semalam, menyebabkan kediaman kira-kira 1,000 penduduk di Perkampungan Portugis di sini, ditenggelami air.

Bencana itu sekali gus menjejaskan persiapan mereka untuk menyambut Krismas tidak lama lagi.

Jennifer berkata, ketika kejadian jam 7.30 pagi itu, dia dan ahli keluarga lain tiada di rumah kerana pergi ke gereja berdekatan.

"Namun sebaik pulang ke rumah, air sudah memenuhi rumah sedalam kira-kira 0.6 meter.

"Walaupun kawasan perumahan itu terutama di Jalan Tesera di sini, sering dinaiki air pasang namun kejadian kelmarin adalah yang terburuk sehingga menjejaskan persiapan kami menyambut Hari Krismas.

"Malah arus air pasang berkenaan menyebabkan almari baju kami turut runtuh.

"Lebih menyedihkan apabila barangan dapur untuk menyediakan juadah Krismas kelak turut rosak ditenggelami air dan terpaksa dibuang," katanya semalam.

Katanya, perkakas elektrik seperti peti sejuk turut mengalami kerosakan selain perabot juga tidak boleh diguna lagi.

"Minggu lalu kami baru membina tembok di pintu hadapan bagi menghalang air pasang memasuki rumah namun ia sia-sia," katanya.

Seorang lagi penduduk, Donald Joseph Perreira, 75, berkata, dia dan keluarga menjangkakan tidak dapat menyambut Krismas tahun ini berikutan fenomena sama dijangka bakal berulang pada 21 hingga 23 Disember nanti.

Menurut warga emas itu, dia sudah membuat benteng batu termasuk menggunakan guni pasir di hadapan rumah untuk menghalang limpahan air pasang namun gagal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 5:17 PM