KERETA Proton Saga BLM yang musnah dalam kemalangan di Kilometer 74.2 Lebuhraya Utara Selatan. FOTO ihsan Bomba
KERETA Proton Saga BLM yang musnah dalam kemalangan di Kilometer 74.2 Lebuhraya Utara Selatan. FOTO ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


Gurun: Sebuah kereta Proton Saga BLM dan motosikal Honda EX-5 musnah terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 74.2 Lebuhraya Utara Selatan di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, pemandu dan empat penumpang kereta terbabit serta penunggang motosikal terselamat dalam kejadian pada 10 malam itu. Kemalangan itu turut menyebabkan kesesakan teruk di lebuh raya berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati, kereta yang dipandu lelaki berusia 34 tahun dari Arau, Perlis itu bergerak di lorong kiri manakala motosikal yang ditunggangi remaja perempuan berusia 17 tahun itu bergerak di lorong kecemasan.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal remaja itu terbabas dan melanggar penghadang jalan sebelah kiri sebelum terjatuh di lorong kiri.

"Pada masa sama, kereta yang sedang bergerak di lorong kiri tidak sempat mengelak dan terlanggar motosikal remaja itu yang dalam keadaan terbalik di lorong kiri.

"Akibat kemalangan itu, remaja perempuan itu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar akibat cedera di lutut dan muka manakala pemandu kereta itu tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Adzli berkata, akibat kemalangan itu, kereta serta motosikal terbakar dan kes diklasifikasikan mengikut Rule 10 ln. 166/59.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 0.17 malam.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Sezali Hassan tiba pada jam 10.33 malam.

"Kereta itu dinaiki dua lelaki dewasa termasuk pemandu, dua wanita dewasa dan seorang wanita warga emas.

"Remaja perempuan yang menunggang motosikal itu mengalami kecederaan manakala pemandu dan kesemua penumpang kenderaan itu tidak cedera," katanya dalam kenyataan.

Mohamadul Ehsan berkata, akibat kemalangan itu, kedua-dua kenderaan terbabit terbakar 95 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 1:46 PM