ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam lori simen yang terbalik dalam kemalangan di Pekan Langgar. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam lori simen yang terbalik dalam kemalangan di Pekan Langgar. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


PEMANDU lori simen menahan kesakitan hampir dua jam apabila kaki kirinya tersepit selepas terbabit kemalangan dengan lori lain di Pekan Langgar, Alor Setar, hari ini.

Dalam kejadian 11.40 pagi, lelaki berusia 27 tahun itu memandu lori simen dari arah Jalan Pendang ke Pekan Langgar, manakala sebuah lagi lori dari arah Alor Setar ke Pekan Langgar.

Akibat perlanggaran itu, lori simen terbabit terbalik menyebabkan mangsa merintih kesakitan disebabkan kaki kirinya tersepit dan cedera parah di tangan kiri.

Kejadian itu turut menyebabkan tiang elektrik patah, selain tiga motosikal yang diletakkan di tepi jalan turut dirempuh lori berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu jam 11.51 pagi.

Katanya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar diketuai Pegawai Bomba Kanan II Anuar Hamid bersama lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Pemandu lori simen itu tersepit dalam kenderaannya, manakala seorang pemandu lori lain mengalami cedera ringan.

“Anggota bomba mengambil masa untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan peralatan khas,” katanya.

Katanya, mangsa yang parah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 3:13 PM