Karthigeyan menunjukkan pelitup muka halal yang mendapat perakuan JAKIM di pejabat IKHLAS di Kajang hari ini. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Karthigeyan menunjukkan pelitup muka halal yang mendapat perakuan JAKIM di pejabat IKHLAS di Kajang hari ini. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Amir Abd Hamid

Kajang: Seorang peniaga bukan Islam mengambil inisiatif mengimport pelitup muka yang mendapat persijilan halal badan antarabangsa.

Datuk K Karthigeyan berkata, bagi orang bukan Islam memang menyedari hakikat bahawa halal adalah bermaksud suci dan bersih.

Menurutnya, pelitup muka adalah benda yang dipakai di muka iaitu kawasan pernafasan jadi sewajarnya perlu diakui bersih oleh pihak berwajib.

"Pelitup muka buatan China ini dikilangkan di Xiamen Huacheng High-Tech Textile Co Ltd, dibuat sepenuhnya dalam satu kilang termasuk bahan-bahan mentah yang digunakan.

"Ada sesetengah pengusaha kilang, mengimport bahan mentah tertentu dari kilang lain, tetapi pelitup muka ini dibuat di kilang sama sepenuhnya.

"Kilang dan pelitup muka ini sudah diaudit oleh ARA Halal Certification Services Center Inc (ARA), badan pensijilan luar negara yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media memperkenalkan pelitup muka halal itu di pejabat Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden IKHLAS Datuk Mohd Ridzuan Abdullah.

"Sewaktu pandemik Covid-19 ini, dalam keadaan tertentu kita terpaksa bernafas dengan pelitup muka.

"Ia melekap di muka, bibir dan hidung. Justeru memang perlu pelitup muka yang halal, suci dan bersih. Boleh guna tanpa was-was.

"Difahamkan, ia adalah pelitup muka pertama yang mendapat pengiktirafan halal di dunia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 8:40 PM