BPMB sentiasa komited dalam membantu memerangi Covid-19.
BPMB sentiasa komited dalam membantu memerangi Covid-19.
Hafiz Ithnin

Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) sekali lagi bekerjasama dengan Yayasan Ikhlas untuk menghasil dan menyumbang 10,000 set kelengkapan perlindung diri (PPE) kepada petugas kesihatan barisan hadapan di Sabah untuk kegunaan dua buah hospital terpilih di Semporna dan Tawau.

Pihak pengurusan kanan BPMB yang diwakili Ketua Pegawai Kewangannya, Zulkeefli Mad Karim dan Ketua Pengurusan Shariah Kumpulan, Mohamad Salihin Deris menghadiri majlis penyerahan sumbangan di kilang penghasilan set PPE berkenaan di Petaling Jaya, Selangor.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Yayasan Ikhlas Datuk Mohd Rosli Ramli dan Pengurus Besar Yayasan Ikhlas Ir Kamaruddin Kassim. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif BPMB Arshad Mohamed Ismail berkata, sumbangan itu antara komitmen BPMB untuk membantu mengurangkan beban pihak barisan hadapan di hospital-hospital di Sabah yang bertungkus lumus bekerja demi menjaga keselamatan seluruh rakyat Malaysia.

"Seperti yang kita sedia maklum, Sabah adalah negeri yang merekodkan jumlah tertinggi kes-kes positif COVID-19 sejak kebelakangan ini.

"Oleh itu, BPMB berasa terpanggil untuk sekali lagi turut serta memberikan sumbangan set PPE dalam usaha kita bersama untuk menangani gelombang ketiga Covid-19 ini," katanya.

Jelasnya, BPMB berharap supaya sumbangan ini dapat menzahirkan semangat kebersamaan antara kita semua untuk membantu pihak kerajaan dalam usaha untuk memerangi pandemik Covid-19 sekali gus memberikan impak positif ke atas usaha pencegahan, pengesanan dan rawatan kesihatan kepada masyarakat Malaysia secara amnya, khususnya di Sabah," katanya.

ANTARA barangan bantuan yang disalurkan hasil kerjasama Yayasan Ikhlas dan BPMB.
ANTARA barangan bantuan yang disalurkan hasil kerjasama Yayasan Ikhlas dan BPMB.

Bantuan PPE kali ini adalah kerjasama kali kedua bersama Yayasan Ikhlas iaitu sebanyak 17,500 set PPE berjaya dihantar ke Sabah dan Sarawak pada Julai dan September lalu melalui kerjasama kali yang pertama.

Katanya, secara keseluruhannya kerjasama BPMB dan Yayasan Ikhlas setakat ini menyumbang sebanyak 27,500 set PPE ke Sabah dan Sarawak dengan kos keseluruhan sebanyak RM1,064,700.

"Projek kerjasama pintar antara BPMB dan Yayasan Ikhlas ini terbentuk dengan BPMB berperanan sebagai penyumbang dana dan Yayasan Ikhlas pula berperanan menjadi pengurus projek untuk menghasilkan sendiri set PPE.

"Bermula dari pencarian bahan mentah, proses menjahit oleh sukarelawan dan golongan asnaf seterusnya menghantar set PPEā€ siap kepada penerima yang disasarkan.

"Proses penghasilan sendiri semua set PPE ini mendapat kelulusan dan dipantau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan ia memenuhi piawaian yang ditetapkan dan selamat digunakan petugas kesihatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 6:20 AM