Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Pemandu Toyota Hilux dikhuatiri lemas selepas kenderaan dinaiki bersama isteri terjunam ke dalam sungai di Kampung Tembila, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 6 pagi itu, Shukri Wahab, 52, bersama isterinya, Azizah Mohamad Yusof, 51, dalam perjalanan dari Tawang, Bachok, Kelantan menghala ke Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat pada 7.25 pagi berlaku kemalangan di Jambatan Tembila membabitkan pacuan empat roda terbabas sendiri dan jatuh ke dalam sungai.

"Pemandu dipercayai hilang kawalan apabila sampai di Jambatan Tembila dan terlanggar besi penghadang lalu terjatuh ke dalam sungai.

"Sehingga kini pemandu masih belum ditemui manakala penumpang berjaya diselamatkan. Penumpang berada di Hospital Besut bagi menerima rawatan kerana mengalami kecederaan ringan," katanya ketika dihubungi hari ini.

OPERASI mencari dan menyelamat lelaki dikhuatiri lemas selepas Toyota Hilux dipandu terjunam ke dalam sungai. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
OPERASI mencari dan menyelamat lelaki dikhuatiri lemas selepas Toyota Hilux dipandu terjunam ke dalam sungai. FOTO Nurul Fatihah Sulaini

Sementara itu, saksi kejadian, Zulkifli Kassim 51, berkata, ketika kejadian dia sedang bersiap menunaikan solat Subuh.

"Tiba-tiba saya terdengar bunyi kuat seperti benda jatuh ke dalam sungai yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah.

"Selepas solat saya ke tepi sungai namun tidak nampak sebarang kesan kenderaan jatuh dan saya balik ke rumah. Bagaimanapun saya kembali ke lokasi selepas terdengar suara meminta tolong," katanya.

Katanya, dia kemudian melihat seorang wanita tersangkut dan berpegang pada pokok.

"Kami segera menghubungi bomba dan pihak penyelamat membawa wanita itu ke seberang sungai dengan bot.

"Mangsa berkata dia tidak tahu bagaimana boleh keluar daripada kenderaan dan tersangkut pada pokok. Dia cuma tanya bagaimana keadaan suaminya," katanya.

Anak mangsa, Mohamad Sollahudin, 22, berkata, kedua-dua orang tuanya dalam perjalanan untuk mengambil keropok di Kuala Terengganu.

"Mereka biasa berulang-alik melalui laluan ini untuk mengambil stok keropok. Kali terakhir saya jumpa mereka semalam dan mengetahui kejadian ini daripada doktor yang merawat ibu pagi tadi," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Besut, Mohamad Jusoh berkata, seramai 24 anggota bomba terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat.

"Mangsa wanita ditemui selamat berpegang pada pokok dan dia dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Operasi mencari pemandu kenderaan masih diteruskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 1:36 PM