NUR Izzati (gambar kecil) maut dalam kemalangan di Jalan Nyior Sebatang, Tasek Gelugor, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
NUR Izzati (gambar kecil) maut dalam kemalangan di Jalan Nyior Sebatang, Tasek Gelugor, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


PELAJAR perempuan pelajar tingkatan empat maut apabila kereta dinaiki bertembung dengan kenderaan lain dalam kemalangan di Jalan Nyior Sebatang, Tasek Gelugor, awal pagi hari ini.

Dalam kemalangan jam 12.20 tengah malam, mangsa Nur Izzati Rosli, 16, meninggal dunia selepas tercampak dari kenderaan yang dinaiki bersama rakannya berusia 19 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta dipandu rakan mangsa bertembung dengan sebuah kenderaan lain dinaiki tukang cuci bersama anaknya.

“Mangsa dan rakannya itu dari Tasek Gelugor menuju ke Sungai Dua, manakala tukang cuci berusia 41 tahun dan anak perempuannya berusia 14 tahun dari arah bertentangan.

“Kemalangan berlaku apabila kereta dipandu rakan mangsa itu dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu bertembung sebelum berpusing sehingga memasuki kawasan parit, manakala mangsa tercampak keluar dari kenderaan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 11:31 AM