GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Polis menahan seorang lelaki dipercayai menyamar sebagai ejen untuk mengutip tabung derma sebelum melarikan wang sumbangan berkenaan, kelmarin.

Perbuatan suspek berusia 23 tahun itu terbongkar selepas dia ditahan di tepi jalan di hadapan sebuah rumah di Jalan Wakaf Tapai, di sini, kira-kira 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, pihaknya sebelum itu menerima maklumat daripada orang awam yang curiga dengan tindak-tanduk suspek.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Daerah Marang dan Balai Polis Marang segera ke lokasi untuk membuat pemeriksaan.

"Suspek yang menyedari kehadiran anggota cuba melarikan diri, namun gagal sebelum pemeriksaan dijalankan terhadapnya.

"Hasil pemeriksaan terhadap kereta Perodua Viva dinaiki suspek, kita menemui 15 tabung plastik daripada pelbagai pusat tahfiz, madrasah dan pusat kebajikan serta sejumlah wang dipercayai wang daripada kutipan tabung derma berkenaan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Zain berkata, hasil soal siasat suspek mengaku menyamar sebagai ejen dengan bertindak menukar tabung-tabung derma yang diletakkan di kedai makan dan kedai runcit sebelum mengambil wang yang didermakan.

Katanya, suspek yang positif dadah jenis methamphetamine kini direman untuk siasatan mengikut Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan Jalan 1947.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 3:51 PM