Keadaan jalan menghubungkan Kuala Selangor ke Pasir Penambang dinaiki air susulan fenomena air laut pasang besar. FOTO IHSAN PEMBACA
Keadaan jalan menghubungkan Kuala Selangor ke Pasir Penambang dinaiki air susulan fenomena air laut pasang besar. FOTO IHSAN PEMBACA
Oleh Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Fenomena air laut pasang besar yang memasuki hari kedua menyebabkan sebahagian besar jalan menghubungkan Kuala Selangor ke Pasir Penambang, di sini, dinaiki air, hari ini.

Menerusi dua video berdurasi 30 dan 58 saat itu, puluhan pengguna jalan raya dilihat memberhentikan kenderaan mereka apabila air membanjiri kedua-dua laluan.

Bagaimanapun ada pengguna yang dilihat berani meredah banjir untuk melalui jalan itu terutama kenderaan pacuan empat roda.

Sebelum ini, empat rumah di Kampung Sungai Janggut, Jeram, di sini, terjejas susulan fenomena air laut pasang besar, semalam.

Media sebelum ini melaporkan lima daerah di Selangor diramal dilanda fenomena air laut pasang besar bermula bulan ini hingga November depan.

Fenomena ini diramal berlaku pada 19 hingga 20 September, 17 hingga 19 Oktober dan 15 hingga 16 November di persisiran pantai Selangor dengan ketinggian paras air laut mencecah paras 5.8 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 2:09 PM