DATUK Patinggi Abang Johari Tun Openg, melancarkan Transaksi Tanpa Tunai Sarawak Pay dan Rangkaian Wifi Percuma di Pasar Sentral Sibu. FOTO Nadim Bokhari
DATUK Patinggi Abang Johari Tun Openg, melancarkan Transaksi Tanpa Tunai Sarawak Pay dan Rangkaian Wifi Percuma di Pasar Sentral Sibu. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Sibu: Pasar Sentral Sibu menjadi pelopor transaksi tanpa tunai di pasar basah di negeri ini apabila semua peniaga menerima penggunaan Sarawak Pay.

Pasar terbesar di Sarawak yang mempunyai lebih 1,000 gerai jualan barangan keperluan harian, termasuk hasil hutan, selain gerai makanan, barangan runcit dan pakaian.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, penggunaan Sarawak Pay bukan sahaja memudahkan urus niaga di pasar berkenaan, malah ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperluaskan penggunaan teknologi digital dalam semua urusan.

Beliau berkata, langkah pengurusan Pasar Sentral itu akan meningkatkan lagi penggunaan transaksi tanpa tunai yang semakin diterima masyarakat negeri ini.

"Peniaga di Pasar Sentral Sibu memberikan maklum balas tertinggi apabila kita memperkenalkan penggunaan transaksi tanpa tunai, Sarawak Pay ini.

"Dengan Sarawak Pay, nak beli sayur hutan pun kita bayar menggunakan telefon bimbit sahaja dan ini selaras dengan dasar digital yang diperkenalkan kerajaan Sarawak," katanya ketika berucap melancarkan Transaksi Tanpa Tunai Sarawak Pay dan Rangkaian Wifi Percuma di Pasar Sentral, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian serta Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapaee.

Abang Johari berkata, penyediaan perkhidmatan tanpa tunai tempatan, Sarawak Pay yang dilancarkan pada 2017 kini mempunyai 64,254 peniaga berdaftar.

"Jumlah pengguna Sarawak Pay kini pula sudah mencecah sebanyak 443,396 orang dengan transaksi sehingga kini berjumlah 13.8 juta.

"Nilai jualan barangan menggunakan Sarawak Pay pula mencecah sebanyak RM588.2 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 2:19 PM