ABANG Johari menunggang motosikal meninjau projek jalan raya dari Sibu ke Kapit. FOTO Mohd Roji Kawi
ABANG Johari menunggang motosikal meninjau projek jalan raya dari Sibu ke Kapit. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi

Kapit: Seluruh kawasan Sungai Rajang akan dihubungi dengan rangkaian jalan raya menjelang 2024, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Beliau berkata, rangkaian jalan raya itu akan bermula di kawasan muara sungai terpanjang di Malaysia itu sebelum pembinaan dilaksanakan di kawasan pedalaman di hulu sungai.

Katanya, ketika ini rangkaian jalan raya itu bermula dari Mukah menuju, Igan, Matu-Daro dan terus ke Sibu.

"Dari Sibu, jalan raya di bina ke Kapit yang kini sudah hampir siap sepenuhnya. Selepas itu, kita membina jalan raya dari Kapit ke kawasan pedalaman iaitu ke Mujong ke Baleh seterusnya Belaga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kapit Town Square di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi serta Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Abang Johari berkata, selepas itu jalan raya dari Baleh akan dibina menghubungkan pekan kecil di pedalaman itu dengan Bintulu.

"Apabila rangkaian jalan raya itu siap sepenuhnya pada 2024, bermakna semua penempatan utama di Sungai Rajang akan memiliki akses jalan raya," katanya.

Terdahulu, Abang Johari membuat tinjauan bermotosikal dari Sibu ke Kapit untuk melihat sendiri perkembangan projek jalan raya ke bandar utama yang menjadi pusat pentadbiran kawasan pedalaman Sarawak.

"Sebelum ini kita terpaksa menaiki bot selama tiga jam untuk ke Kapit, tetapi sekarang dengan adanya jalan raya ini, kita boleh memandu selama sejam 45 minit dari Sibu ke Kapit.

"Apa yang saya nampak sepanjang perjalanan hari ini, jalan raya dari Sibu ke Kapit yang melalui kawasan berbukit bukau ini menyajikan pemandangan yang cukup menarik dan amat berpotensi untuk dibangunkan sebagai lokasi pelancongan baharu," katanya.

Berikutan rangkaian jalan raya itu, Abang Johari yakin, Kapit akan menjadi tumpuan orang ramai selepas ini.

"Sehubungan itu, saya meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi membina pasar baharu di Kapit kerana saya percaya orang ramai akan tertumpu di sini untuk membeli pelbagai hasil hutan menarik.

"Selain itu, kita juga akan menyediakan peruntukan bagi menaik taraf kawasan bersejarah seperti Fort Sylvia di Kapit ini," katanya.

Untuk rekod, Kapit adalah satu-satunya pusat pentadbiran bahagian di negeri yang tidak dapat dihubungi dengan jalan raya, sebelum ini.

Jalan raya mula dibina untuk menghubung bandar pedalaman itu pada 2012 dengan melalui kawasan berbukit bukau serta beberapa sungai.

Kini, jalan raya sepanjang 110 kilometer itu hampir siap sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 7:41 PM