SYUKUR bersama kerbau peliharaan keluarganya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
SYUKUR bersama kerbau peliharaan keluarganya. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

“SAYA akan kurangkan aktiviti bermain dengan kerbau kerana mahu beri tumpuan kepada peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini,” kata Mowgli Malaysia, Muhammad Syukur Khamis, 15.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin (SMKPM) itu berkata, sebelum ini dia akan menguruskan kerbau peliharaan keluarganya bermula 6 petang hingga 7 malam.

Menurutnya, selain memastikan haiwan berkenaan makan, semua kerbau itu perlu masuk ke dalam kandang.

“Berikutan akan menduduki PT3 pada tahun ini maka masa bermain dengan kerbau dihadkan hanya pada waktu petang sahaja sekarang.

“Nasihat Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin supaya saya menumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran masih segar dalam ingatan,” katanya ketika ditemui di Kampung Kubang Bujuk, Serada di Kuala Terengganu.

Sementara itu, bapa Syukur, Khamis Jusoh, 64, berkata semua urusan berkaitan kerbau berkenaan akan diserahkan kepada abang dan kakak Syukur.

Menurutnya, dia gembira apabila anak-anaknya meminati bidang penternakan kerbau, namun ia bukan alasan untuk mengabaikan pelajaran.

“Jika Syukur mahu menjadi penternak kerbau, saya akan galakkan dengan syarat dia mesti menjadi penternak yang turut cemerlang dalam pelajaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 3:09 PM