PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sempat bergambar bersama pemimpin-pemimpin selepas Perjumpaan bersama Pimpinan Parti Sabah Hotel Magellan Sutera. FOTO ASWADI ALIAS.
PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sempat bergambar bersama pemimpin-pemimpin selepas Perjumpaan bersama Pimpinan Parti Sabah Hotel Magellan Sutera. FOTO ASWADI ALIAS.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kota Kinabalu: Isu pertindihan calon antara gabungan parti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan selesai sebelum penamaan calon, esok.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, walaupun hanya kurang 24 jam sebelum penamaan calon bagi 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), esok.

Menurutnya, perbincangan hari ini bersama kepimpinan tertinggi gabungan parti politik mencapai kata sepakat dan berlangsung dalam keadaan mesra dan baik.

"Segala isu berbangkit dijangka akan selesai secepat mungkin pertembungan sesama sendiri tidak berlaku.

"Perbincangan akan diadakan hari ini bagi menyelesaikan isu terbabit. Kita akan bincangkan hari ini (parti mana patut undur diri daripada bertanding) di kerusi tertentu. Harap segalanya akan selesai hari ini," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis pertemuan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pemimpin parti komponen BN, PN dan PBS, hari ini.

Dalam pada itu, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, walaupun kurang berpuas hati dengan pembahagian kerusi namun parti itu tetap komited memastikan kemenangan PN dalam PRN Sabah kali ini.

Menurutnya, bagi PRN Sabah kali ini hanya lapan kerusi atas tiket Star akan dipertandingkan walaupun menuntut sekurang-kurangnya 18 kerusi.

"Kita tidak puas hati sepenuhnya (pembahagian kerusi) tapi kita faham dan akur dengan keputusan dan akur sebagai satu pasukan.

"Walaupun hanya lapan kerusi tapi yang penting kita dapat memenangi semua kawasan dipertandingkan," katanya.

Sebelum ini, Jeffrey yang juga Timbalan Pengerusi PN mengugut Star akan meninggalkan gabungan itu jika tidak diberikan sekurang-kurangnya 18 kerusi.

Dalam pada itu, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee mengesahkan PN akan menggunakan logo gabungan itu dalam PRN Sabah kali ini.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 4:50 PM