LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: "Hanya Allah Maha Mengetahui," luah Mohamad Amirulnaim Aznam, 23, abang kepada Allahyarham Abdul Aziz, anggota tentera yang meninggal dunia selepas dipercayai terjun dari tingkat tiga bangunan di sebuah kem di Batu Pahat, Johor pada 29 Ogos lalu.

Mohamad Amirul berkata demikian susulan kenyataan Markas Tentera Darat Malaysia (TDM), semalam mengatakan tiada kecederaan fizikal boleh dikaitkan dengan unsur jenayah dan penderaan terhadap Abdul Aziz.

"No comment (tiada komen)... Allah sahaja yang Maha Mengetahui dan semoga ada keadilan untuknya (adik)," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, mereka sekeluarga menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

Sebelum ini media melaporkan mangsa parah di kepala dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) sebelum meninggal dunia pada 2.30 petang, 6 September lalu.

Markas TDM memaklumkan tiada kecederaan fizikal lain boleh dikaitkan dengan unsur jenayah dan penderaan pada Abdul Aziz berdasarkan hasil bedah siasat oleh doktor pakar Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, pada Isnin lalu.

Hari ini, portal Harian Metro melaporkan polis sudah memanggil beberapa saksi kejadian untuk membantu siasatan kes termasuk detik sebelum mangsa dipercayai terjun.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan merangkumi detik sebelum mangsa berusia 20 tahun itu terjun selain mengenal pasti sama ada wujud unsur ugutan, tekanan serta penderaan sebelum kejadian.

Berita berkaitan

  • 'Kami mahu keadilan buat arwah adik'
  • Polis siasat dakwaan anggota tentera maut dipercayai didera
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 3:03 PM