ALLAHYARHAM Abdul Aziz Aznam. FOTO arkib NSTP
ALLAHYARHAM Abdul Aziz Aznam. FOTO arkib NSTP
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Seramai 10 saksi sudah diambil keterangan berhubung kematian anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas dipercayai terjun dari tingkat tiga bangunan kediaman di sebuah kem tentera di Batu Pahat pada 29 Ogos lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia membabitkan dua pegawai ATM, tujuh anggota pangkat rendah ATM serta seorang awam.

Katanya, laporan awal bedah siasat mendapati tiada kecederaan fizikal dan penderaan yang boleh dikaitkan dengan kematian Allahyarham Abdul Aziz Aznam, 20.

"Laporan awal bedah siasat mendapati tiada kecederaan luar atau tiada unsur-unsur jenayah, polis masih lagi menunggu laporan penuh makmal.

"Setakat ini itu yang kita ada. Ia termasuk keterangan daripada seorang saksi juga anggota tentera yang nampak mangsa lari dan lompat dari tingkat tiga," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, siasatan polis mendapati mangsa dipercayai lari daripada tugas selama 218 hari iaitu selepas dia tamat latihan asas ketenteraan, kemudiannya mengikuti latihan asas komando pasukan Grup Gerak Khas (GGK) ATM.

"Mungkin di situ ada isu berkaitan dengan daya tahan untuk melalui kursus-kursus yang lasak, mungkin situ ada tekanan psikologi, memang latihan pasukan khas ini agak lasak," katanya.

Terdahulu, pada 29 Ogos lalu, Abdul Aziz mengalami kecederaan parah di kepala dan badan selepas dipercayai cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat tiga bangunan kediaman di Kem Majidee, Batu Pahat.

Mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat, namun meninggal dunia kira-kira jam 2.30 petang, 6 September lalu.

Berita berkaitan

Siasat untuk keadilan Allahyarham Abdul Aziz [METROTV]

Kematian anggota: Pegawai, anggota TDM belum dipanggil

Semoga adik dapat keadilan - Amirulnaim

Siasat detik sebelum Abdul Aziz dipercayai terjun bangunan [METROTV]

Kes anggota mati, TDM serah polis siasat

'Polis beri jaminan siasatan menyeluruh kematian anggota ATM'

'Kami mahu keadilan buat arwah adik'

Polis siasat dakwaan anggota tentera maut dipercayai didera

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 6:07 PM