GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Pesara kerajaan mengalami kerugian kira-kira RM40,000 selepas terperdaya dengan panggilan yang diterima daripada 'Sarjan Fauzi'.

Lelaki berusia 60-an itu didakwa terbabit dalam kes pengubahan wang haram dengan seorang daripada suspeknya dikatakan sudah ditahan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa kemudiannya diminta tidak memberitahu perkara berkenaan kepada sesiapa sekiranya tidak mahu ditahan.

"Mangsa turut diarahkan memindahkan wang simpanan miliknya untuk tujuan siasatan.

"Akibat terlalu takut, mangsa akur dengan permintaan sarjan berkenaan dan memindahkan sejumlah RM40,000 wang simpanan miliknya sebelum sedar dirinya terperangkap dengan sindiket penipuan lalu membuat laporan polis semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorzainy berkata, polis berkali-kali menasihati orang awam supaya tidak mudah percaya dengan panggilan yang tidak dikenali.

"Jangan sesekali mudah panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil yang tidak dikenali, sebaliknya hubungi pihak polis atau organisasi yang terbabit untuk sebarang pengesahan.

"Selain itu, jangan dedahkan maklumat peribadi seperti nombor akaun bank, nombor kad mesin pengeluaran automatik (ATM) atau nombor kad kredit kepada individu yang tidak dikenali," katanya.

Menurutnya, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2020 @ 2:18 PM