GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Dua wanita mengalami kerugian RM56,450 selepas ditipu sindiket Macau Scam dengan menakutkan mangsa apabila mendakwa mereka terbabit dalam aktiviti jenayah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pesara kerajaan berusia 70-an mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai kakitangan pos di Seremban, Negeri Sembilan.

"Lelaki itu memberitahu mangsa mempunyai bungkusan di dalamnya mempunyai lapan kad kredit sebelum panggilannya disambungkan kepada anggota polis berpangkat 'Sarjan'.

"Mangsa didakwa terbabit dalam kes penggubahan wang haram dan kes dadah serta salah seorang suspek yang terbabit dengan mangsa sudah ditahan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, anggota polis itu meminta mangsa memindahkan kesemua wang untuk tujuan siasatan dan wanita itu sekadar mengikut arahan kepada terlalu takut.

"Tanpa berfikir panjang, mangsa membuat lima transaksi melalui mesin juruwang automatik (ATM) ke dalam dua akaun bank yang diberikan berjumlah RM49,490," katanya.

Sementara itu, Noorzainy berkata, dalam kes lain, pembantu jualan berusia 27 tahun memberikan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) kepada seorang lelaki kononnya seorang anggota polis.

Menurutnya, mangsa sebelum itu diugut akan dipenjara kerana melakukan kesalahan jenayah.

"Pada mulanya mangsa menerima panggilan daripada kakitangan pos memaklumkan terdapat bungkusan di dalamnya mempunyai kad pengenalan dan kad ATM dikatakan ada kaitan dengan kes jenayah.

"Akibatnya, wang simpanan mangsa berjumlah RM6,960 lesap," katanya.

Katanya, kedua-dua mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Oktober 2020 @ 4:38 PM