- Foto hiasan
- Foto hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Disebabkan tidak menjawab panggilan telefon, warga emas memukul dan membelasah isteri serta anak perempuannya dengan kerusi.

Kejadian dilapor berlaku pada Sabtu lalu, namun laporan polis dibuat kelmarin yang membawa kepada penahanan lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan penahanan suspek yang berusia 65 tahun.

"Dia kini direman empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam pada itu, sumber berkata, kejadian berlaku pada 1.30 tengah hari ketika dua beranak terbabit pulang daripada membeli barang dapur dengan menunggang motosikal.

Suspek dikatakan menunggu isteri dan anaknya di hadapan pintu rumah dan bertanya kepada anaknya yang berusia 19 tahun mengenai kegagalan mereka menjawab panggilan telefon.

"Dua beranak itu menjawab tidak mendengar bunyi telefon kerana menunggang motosikal, sebelum suspek meminta telefon bimbit isterinya dan memecahkan ia menggunakan tukul besi.

"Warga emas itu yang masih tidak berpuas hati kemudian mengambil kerusi di dapur serta memukul paha kedua-dua mangsa hingga lebam. Dia juga memukul mereka dengan papan pemotong makanan selain menumbuk dan menampar pipi," katanya.

Menurut sumber lalu, laporan tidak dibuat awal kerana mereka pada mulanya enggan memanjangkan perkara berkenaan.

Namun, sikap suspek yang dikatakan semakin melampau menyebabkan suri rumah itu menghubungi adiknya di Kuala Lumpur untuk mendapatkan bantuan.

"Adik mangsa memaklumkan kejadian itu kepada polis sebelum suspek ditahan untuk siasatan lanjut petang kelmarin. Susulan penahanan itu, anak perempuannya membuat laporan polis berhubung kejadian itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 8:43 PM