KERUSI yang digunakan seorang lelaki untuk memukul anak, isteri. FOTO Ihsan PDRM
KERUSI yang digunakan seorang lelaki untuk memukul anak, isteri. FOTO Ihsan PDRM
Nur Izzati Mohamad


Tasek Gelugor: Hanya kerana tidak menutup pintu rumah, seorang lelaki mengamuk dan memukul isteri serta anak perempuannya dengan kerusi di Taman Desa Sena, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.45 pagi itu, lelaki berusia 44 tahun yang dikatakan berang apabila anak perempuannya berusia 19 tahun tidak menutup pintu rumah.

Berikutan itu, lelaki berkenaan bertindak di luar jangka apabila mengambil kerusi berwarna putih di bahagian ruang tamu lalu memukul anaknya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian itu disedari isteri suspek berusia 51 tahun yang kemudian menghalang tindakan suaminya namun dia turut dipukul.

Katanya, insiden menyebabkan isteri dan anak suspek sakit di badan sebelum membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan mereka selepas suami suspek turut mengugut mahu membunuhnya.

"Menurut hasil percakapan, pasangan ini sudah berkahwin selama 20 tahun dan tinggal di rumah teres dua tingkat yang dibeli oleh wanita (isteri suspek) yang bekerja sebagai pegawai kerajaan.

"Suspek adalah bekas tentera dan kini bekerja di sebuah kilang yang mana dia sudah tidak bercakap dengan isterinya sejak setahun lalu biarpun masih tinggal serumah," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek yang juga seorang mualaf dikatakan sering memukul isteri dan anak-anaknya apabila berlaku perselisihan faham namun perkara itu tidak pernah dilaporkan kepada polis.

"Suspek tidak mempunyai masalah kesihatan dan pasangan ini mempunyai masalah dalam rumah tangga mereka apabila tinggal berasingan yang mana suspek tinggal di bilik bawah manakala isterinya di tingkat atas," katanya.

Noorzainy berkata, bertindak melalui laporan yang diterima polis ke lokasi kejadian dan menahan suspek pada jam 2.10 petang untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan awal, suspek mengaku memukul isteri dan anaknya dengan kerusi.

"Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan dia kini ditahan mengikut Seksyen 324/506 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 10:40 AM