TAN Sri Muhyiddin Yassin. FOTO Fathil Asri
TAN Sri Muhyiddin Yassin. FOTO Fathil Asri
Luqman Arif Abdul Karim


Putrajaya: Meskipun sibuk dengan tugas harian, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini sempat meluangkan masa makan tengah hari di medan selera Presint 9, di sini.

Perdana Menteri berkata, hasrat berkunjung ke tempat itu sudah disimpan sekian lama, namun tidak mempunyai kesempatan untuk berbuat demikian.

"Di situ saya sempat meninjau gerai. Memang banyak pilihan makanan dijual.

"Saya sempat makan mi rebus, menjamah nasi lemak ayam rempah, tempe dan pisang goreng cicah cili kicap serta air 'detox' soda herba.

"Alhamdulillah, saya dimaklumkan peniaga di medan selera ini yang perniagaan mereka kini sudah semakin pulih.

"Walaupun jualan agak perlahan berbanding sebelum Covid-19 melanda negara, rata-ratanya bersyukur kerana sudah boleh kembali berniaga dan mencari pendapatan seperti biasa," katanya dalam catatan dimuat naik di Facebook rasminya, hari ini.

Susulan kunjungan itu, Muhyiddin berharap golongan peniaga terus cekal menempuh kesan tempias pandemik Covid-19, selain mendoakan supaya perniagaan mereka yang terjejas sebelum ini kembali rancak.

"Terima kasih kepada pengunjung yang datang bertegur sapa semasa saya berada di situ.

"Teruskanlah mengunjungi medan selera ini. Insya-Allah semoga dapat membantu peniaga di medan selera ini memulihkan perniagaan mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 8:22 PM