TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO Danial Saad.
TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO Danial Saad.
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Pendekatan 'The Whole of Government and Society' yang diamalkan kerajaan ketika ini menjadi kunci negara menangani cabaran getir dalam mengimbangi pendekatan menyelamatkan nyawa serta mata pencarian ketika berdepan pandemik Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pendekatan itu membabitkan pelbagai kerjasama antara kementerian, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelbagai sektor dan komuniti setempat.

Beliau berkata, pandemik Covid-19 yang melanda dunia memberi impak dan kesan mendalam terhadap aspek sosio-ekonomi dunia bagi banyak

negara seterusnya memberi kesan terhadap banyak perkara asas kehidupan seharian.

Katanya, seperti kebanyakan negara lain, Malaysia juga tidak terkecuali dalam mencari keseimbangan pendekatan menyelamatkan nyawa serta mata pencarian.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan usaha global untuk mengurangkan jurang ketidaksamaan kesihatan bagi mencapai kesihatan optimum untuk semua, dan Kementerian Kesihatan (KKM) sememangnya sentiasa berusaha bagi memastikan perkara ini dapat dicapai melalui pelbagai inisiatif yang dirangka dan dilaksana.

"Aktiviti kesihatan awam dan perkhidmatan perubatan terus dijalankan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat, tidak kira pangkat, umur, bangsa mahupun status kewarganegaraan, mendapat akses yang saksama.

"Ini sememangnya sejajar dengan semangat solidariti iaitu tiada siapa yang akan ketinggalan," katanya dalam kenyataan sempena Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2021, hari ini.

Beliau yang mengucapkan Selamat Hari Kesihatan Sedunia, berkata, tarikh 7 April setiap tahun adalah sambutan Hari Kesihatan Sedunia, dan tema sambutan tahun ini adalah 'Membina Dunia yang Lebih Sihat dan Saksama'.

"Kesihatan setiap penduduk di Malaysia amatlah bermakna. Setiap dari kita boleh memainkan peranan untuk menjaga diri sendiri serta orang di sekeliling kita.

"Teruskanlah mengamalkan moto yang sering diutarakan 'Kita jaga kita' pada setiap masa dan tempat," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, semua pihak tidak boleh leka serta perlu konsisten mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan semua langkah pencegahan yang disarankan kerana ia akan membuahkan kemenangan melawan Covid-19, bukan sahaja dari aspek kesihatan, tetapi juga sosio-ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 10:31 PM