ANTARA aktiviti ketika pelancaran Kampung Budaya Terengganu (KBT), hari ini. FOTO Ghazali Kori
ANTARA aktiviti ketika pelancaran Kampung Budaya Terengganu (KBT), hari ini. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kampung Budaya Terengganu (KBT) yang berkonsepkan muzium hidup, bakal menjadi tarikan pelancongan terbaharu di negeri ini.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, KBT terletak di Muzium Negeri akan menjadi pusat sehenti yang menghimpunkan pelbagai seni, budaya dan warisan dari seluruh daerah.

Katanya, KBT bukan sahaja menjulang kembali kegemilangan masyarakat Terengganu tetapi mengingatkan generasi muda mengenai pentingnya mengetahui asal-usul sejarah dan peradaban negeri.

"Ia secara tidak langsung menonjolkan peranan muzium negeri sebagai pusat rujukan tamadun masyarakat Terengganu, serta memartabatkan tradisi Melayu.

"Selain itu, KBT akan menjadi platform bagi karyawan tempatan untuk terus berkarya, juga menyumbang kepada peningkatan ekonomi penduduk tempatan, melalui aktiviti subsektor pelancongan," katanya.

DR Ahmad Samsuri melihat demonstrasi cara pembuatan cili pada majlis pelancaran Kampung Budaya Terengganu (KBT), hari ini. FOTO Ghazali Kori
DR Ahmad Samsuri melihat demonstrasi cara pembuatan cili pada majlis pelancaran Kampung Budaya Terengganu (KBT), hari ini. FOTO Ghazali Kori

Beliau ditemui selepas merasmikan KBT, di sini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu, Ariffin Deraman dan Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Ab Rasid Jusoh.

Ahmad Samsuri berkata, sempena pembukaan itu, orang ramai berpeluang masuk secara percuma sehingga 6 September, sebelum harga tiket dikenakan iaitu RM15 (dewasa) dan RM10 (kanak-kanak) untuk warganegara, manakala RM10 untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Katanya, harga tiket masuk bagi pelancong asing adalah RM30 untuk dewasa dan RM20 kanak-kanak.

"Bayaran tiket masuk ini untuk menampung kos penyelenggaraan dan penambahbaikan bagi memastikan KBT terus berada dalam keadaan baik," katanya.

"Ini peluang terbaik kita, terutama generasi muda untuk merasai suasana kehidupan sebenar masyarakat Melayu lama dan saya alu-alukan pelancong berkunjung KBT jika ke Terengganu. Ia destinasi yang wajib untuk dilawati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 6:48 PM