Sebahagian 111 pekebun durian di Raub yang berkumpul diperkarangan Mahkamah Tinggi Kuantan selepas berjaya mendapatkan Perintah Penggantungan Sementara. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Sebahagian 111 pekebun durian di Raub yang berkumpul diperkarangan Mahkamah Tinggi Kuantan selepas berjaya mendapatkan Perintah Penggantungan Sementara. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


SERAMAI 111 pekebun durian di atas tanah haram mendapatkan Perintah Penggantungan Sementara terhadap notis pengosongan tanah kebun dan pajakan di beberapa lokasi di sekitar Raub.

Peguam Siew Choon Jern yang mewakili pekebun terbabit berkata, keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Zainal Azman Ab Aziz selepas mendengar hujahan daripada pemohon dan wakil responden berhubung tuntutan terbabit.

Menurutnya, mahkamah tiada bantahan, sekali gus membenarkan penggantungan notis yang dikeluarkan responden sehingga tarikh pendengaran semula permohonan dijadualkan pada 28 Oktober depan.

"Pekebun durian terbabit kini boleh menjalankan aktiviti harian mereka di atas tanah yang diterokai selepas mendapat perintah ini.

"Sebelum ini, mereka (pekebun durian) tidak berani memasuki dusun durian selepas mendapat notis supaya mengosongkan tanah oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Raub dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas prosiding permohonan mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis pengosongan kebun dan pajakan tanah durian di Kompleks Mahkamah Kuantan, hari ini.

Pada Jumaat lalu, Chan Yoke Kong, 50, bersama 101 pekebun lain memfailkan permohonan semakan kehakiman berhubung tindakan kerajaan negeri mengarahkan mereka mengosongkan tanah, baru-baru ini.

Permohonan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Kompleks Mahkamah Kuantan oleh Choon Jern dengan menamakan enam responden.

Dalam perkembangan sama, Choon Jern berkata, pekebun juga bersedia untuk mengadakan rundingan dengan pihak berkaitan dalam usaha menyelesaikan kemelut terbabit.

"Jika ditawarkan situasi menang-menang, saya percaya mereka (pekebun) juga mahu berbincang tetapi mereka rasa tertekan kerana notis itu terlalu pantas iaitu perlu mengosongkan tanah dalam masa 30 hari.

"Mereka sudah lama mengusahakan tanah itu termasuk sejak 1961 dan pekebun terbabit hanya mahukan keputusan yang adil.

"Sebelum ini mereka pernah memohon kepada kerajaan negeri untuk mengusahakan tanah secara sah, tetapi ditolak dengan alasan berada dalam kawasan hutan simpan," katanya.

Pada 1 Ogos lalu, kerajaan Pahang bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan.

Tindakan itu dilakukan berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat hilang hasil cukai tanah dari kebun haram termasuk di kawasan hutan simpan.

Antara kawasan dusun durian di Raub yang terbabit ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2020 @ 4:23 PM