WAN Rosdy berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang. FOTO Farizul Hafiz Awang
WAN Rosdy berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang. FOTO Farizul Hafiz Awang
Asrol Awang


Kuantan: Kerajaan Pahang bersyukur di atas keputusan Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak permohonan 204 pekebun durian Musang King di sekitar Raub untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan negeri.

Justeru, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, operasi penguatkuasaan pengosongan tanah ditanam pokok durian Musang King akan dilaksanakan pada bila-bila masa.

Katanya, kerajaan negeri juga mengesahkan tiada lagi tempoh masa diberikan kepada semua pekebun terbabit yang meneroka tanah itu secara haram.

"Pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini, kita bersetuju bahawa tindakan penguatkuasaan akan dilakukan dalam tempoh segera," katanya ketika diminta mengulas keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan pekebun durian Musang King di sekitar Raub.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Wan Rosdy berkata, penguatkuasaan itu dilaksanakan seperti kes penerokaan tanah secara haram di Lembah Bertam dan Sungai Ichat di Cameron Highlands.

WAN Rosdy (kiri) bersama Tuan Ibrahim bertukar dokumen. FOTO Farizul Hafiz Awang
WAN Rosdy (kiri) bersama Tuan Ibrahim bertukar dokumen. FOTO Farizul Hafiz Awang

Hari ini, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan 204 pekebun durian Musang King di sekitar Raub untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan negeri Pahang.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu dalam prosiding dengan hanya pihak terbabit dibenarkan masuk ke dalam mahkamah, difahamkan atas faktor penjarakan sosial dan peguam Siew Choon Jern yang mewakili semua plaintif memaklumkan keputusan tersebut kepada media selepas prosiding tamat.

Siew berkata, mahkamah memberikan dua alasan menolak permohonan plaintif, iaitu pekebun terbabit tidak seharusnya membuat permohonan kebenaran semakan kehakiman kerana notis pengosongan dikeluarkan pentadbir tanah bukanlah satu keputusan atau tindakan yang boleh disemak di mahkamah.

"Selain itu, mahkamah juga mendapati pekebun terlibat adalah penceroboh (di tanah berkenaan). Sebagai pihak yang menceroboh, mereka tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman ini," katanya.

Siew berkata mahkamah juga memutuskan supaya plaintif menjelaskan kos sebanyak RM10,000 kepada Jabatan Peguam Negara.

Berita berkaitan:

  • Mahkamah tolak permohonan 204 pekebun Musang King
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 7:57 PM