KETUA parti yang mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengadakan pertemuan di Putrajaya, baru-baru ini. FOTO Bernama.
KETUA parti yang mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengadakan pertemuan di Putrajaya, baru-baru ini. FOTO Bernama.
Wartawan HM

PENYERTAAN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Muafakat Nasional akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu juga sudah bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional yang mendokong Perikatan Nasional sebagai gabungan besar.

Muhyiddin yang juga Pemangku Pengerusi dan Presiden Bersatu berkata, beliau percaya ini adalah pilihan terbaik untuk Bersatu.

"Kita memilih untuk berada dalam satu jemaah besar yang menghimpunkan parti utama di negara kita.

"Dengan terbentuknya penyatuan antara Bersatu, Umno, Pas dan parti lain dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), sebahagian besar sokongan rakyat sudah berada di pihak kita.

"Insya Allah, penyatuan dalam jemaah besar ini akan mewujudkan kestabilan politik negara yang pastinya memberikan limpahan nikmat keamanan, keharmonian dan kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama," katanya dalam perutusan Persidangan Srikandi, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Bahagian Bersatu, hari ini.

Perutusan itu dimuat naik di laman Facebook rasmi Muhyiddin.

Muhyiddin berkata, Bersatu yang genap usia empat tahun September ini, sudah menjadi sebuah parti yang penting dan berpengaruh dalam persada politik tanah air.

Katanya, Bersatu adalah sebuah parti utama dalam kerajaan baik di peringkat Persekutuan dan negeri, sekali gus menunjukkan satu pencapaian yang amat membanggakan.

"Dalam tempoh empat tahun ini, jumlah keahlian parti kita sudah mencecah lebih 420,000 orang di seluruh negara. Kita juga sudah menubuhkan 197 Bahagian dan 2,950 Cawangan berdaftar.

"Ini adalah satu pencapaian yang memberangsangkan dalam tempoh yang singkat.

"​Untuk bergerak ke hadapan, sudah pastilah kita perlu menambah jumlah keahlian dan cawangan. Ini pastinya akan memperkukuhkan lagi parti kita. Jadikan penambahan ahli dan cawangan sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) setiap Bahagian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 11:33 AM