MUHYIDDIN ketika menyampaikan perutusan. FOTO Ihsan FB Muhyiddin Yassin.
MUHYIDDIN ketika menyampaikan perutusan. FOTO Ihsan FB Muhyiddin Yassin.
Wartawan HM

"SAYA tidak khianat kepada parti. Saya yang tubuhkan parti ini. Jadi tidak ada sebab untuk saya khianat kepada parti yang saya sendiri tubuhkan," tegas Pemangku Pengerusi dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, beliau sendiri melalui fasa jatuh dan bangun dalam politik.

"Ada kalanya saya di atas. Ada kalanya saya di bawah. Itu adalah sebahagian daripada asam garam kehidupan saya yang mesti saya terima seadanya.

"Dahulu Tun Dr Mahathir (Mohamad) bersama-sama dengan kita. Saya tak boleh nafikan sejarah sumbangan Tun Dr Mahathir kepada parti kita.

"Saya hormat kepada beliau sebagai bekas pemimpin parti. Orang-orang yang dekat dengan saya pasti tahu betapa hormatnya saya kepada Tun Dr Mahathir.

"Saya dan kita semua pastinya berasa sedih kerana beliau tidak lagi bersama-sama kita. Tak mengapalah. Beliau memilih haluannya sendiri. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau," katanya.

Beliau berkata demikian pada perutusan Persidangan Srikandi, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Bahagian Bersatu, hari ini.

Perutusan itu dimuat naik di laman Facebook rasmi Muhyiddin.

Perdana Menteri berkata, kali ini beliau diberi amanah yang besar oleh Allah SWT untuk memimpin parti dan kerajaan.

Katanya, pengalaman mengajar beliau bahawa kedudukan, pangkat dan kuasa adalah sementara.

Malah, Muhyiddin berkata, ia bukan kurniaan untuk bermegah-megah atau untuk memiliki selama-lamanya.

"Tetapi kuasa pemerintahan adalah satu amanah berat untuk kita pikul.

"Begitu juga dengan saudara-saudari di peringkat Bahagian dan Cawangan. Dahulu sebahagian daripada saudara-saudari adalah ahli biasa. Sekarang jadi perwakilan, jadi Ketua Cawangan, Ketua Armada, Ketua Srikandi, Ketua Bahagian dan lain-lain.

"Ingat jawatan yang anda pegang ini adalah amanah yang mesti dijalankan dengan penuh tanggungjawab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 10:59 AM