ANGGOTA penguat kuasa MPS melakukan tindakan sita di sebuah restoran di Sri Gombak pada Khamis lalu dan semalam selepas menyebabkan halangan pada kaki jalan di kawasan berkenaan. FOTO IHSAN MPS
ANGGOTA penguat kuasa MPS melakukan tindakan sita di sebuah restoran di Sri Gombak pada Khamis lalu dan semalam selepas menyebabkan halangan pada kaki jalan di kawasan berkenaan. FOTO IHSAN MPS
Nurul Hidayah Bahaudin


TINDAKAN pemilik sebuah restoran di Sri Gombak, di sini, yang berdegil dan mengulangi kesalahan sama mengundang padah apabila beberapa barangan jualannya disita buat kali kedua dalam tempoh lima hari.

Pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Mohamad Zin Masoad berkata, pihaknya melakukan operasi membabitkan 20 anggota penguat kuasa di restoran terbabit pada Khamis lalu dan menyita 15 unit khemah, 10 kerusi, tiga gerai dan enam meja bulat di lokasi berkenaan.

“Malah, MPS juga sudah memberi peringatan kepada pemilik restoran berkenaan supaya memastikan tiada sebarangan halangan diletakkan pada kaki lima dan kawasan berhadapan premis tanpa kebenaran.

“Bagaimanapun, ketika rondaan dilakukan semalam mendapati pemilik restoran itu masih meletakkan meja lipat dan gerai makanan di kaki lima berhadapan premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamad Zin berkata, pihaknya sekali lagi melakukan tindakan sita iaitu 15 meja lipat, sembilan gerai dan 22 inventori membabitkan kekuatan 16 anggota penguat kuasa selaras dengan Seksyen 46(1)d Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

“Sikap tidak bertanggungjawab pemilik restoran itu yang terus meletakkan meja untuk pelanggan di kawasan awam menyebabkan kacau ganggu terhadap orang ramai.

“Selain mengakibatkan kesesakan lalu lintas teruk terutama pada waktu malam, tindakan itu juga menyebabkan kebersihan kawasan sekitar tidak dijaga.

“Kami juga khuatir meja diletakkan di bahagian luar dan sebahagian atas jalan berkenaan membahayakan nyawa pelanggan yang makan di lokasi terbabit,” katanya.

Beliau berkata, MPS juga akan menjalankan semakan ke atas lesen perniagaan pemilik restoran memandangkan kesalahan itu adalah kali kelima dilakukan pihak berkenaan.

“Tindakan itu perlu diambil bagi memastikan kesalahan sama tidak berulang. Semua pemilik diingatkan supaya tidak meletakkan sebarang halangan terutama pada kaki lima di hadapan restoran masing-masing.

“MPS akan melakukan pemantauan berterusan dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan sama,” katanya.

Keterangan gambar:

1. ANGGOTA penguat kuasa MPS melakukan tindakan sita di sebuah restoran di Sri Gombak pada Khamis lalu dan semalam selepas menyebabkan halangan pada kaki jalan di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 9:14 PM