MOHD SHAFIE Apdal (kiri) ketika sidang media selepas Mesyuarat Parti Warisan Sabah di Wisma Kolombong, Kota Kinabalu. FOTO Malai Rosmah Tuah.
MOHD SHAFIE Apdal (kiri) ketika sidang media selepas Mesyuarat Parti Warisan Sabah di Wisma Kolombong, Kota Kinabalu. FOTO Malai Rosmah Tuah.
Rafiqah Dahali


PARTI Warisan Sabah (WARISAN) mahu kekalkan kedudukan kerusi yang sedia ada bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pihaknya menetapkan kerusi yang sudah dimenangi WARISAN pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 yang lepas harus dipertahankan.

"Dasar yang kita maklumkan adalah mana-mana kerusi yang sudah kita (WARISAN) bertanding, kita menangi itulah yang kita pertahankan.

"Bagaimanapun, contohnya macam di Kadamaian, kita ada Ewon Benedick sudah di sana jadi kita faham kerusi di sana adalah milik parti UPKO.

"Saya sudah meminta supaya senarai penuh calon dikemukakan untuk kita perhalusi dan bincangkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas selepas mesyuarat Parti Warisan Sabah bertempat di Wisma Kolombong, di Kota Kinabalu, semalam.

Sementara itu, Shafie turut berkata PRN yang bakal diadakan ini tidak perlu dipertikaikan berikutan adanya prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"PRN ini kita perlu memastikan untuk mematuhi SOP yang sudah digariskan oleh SPR

"Kita juga ada Sabah Command Centre yang sentiasa beri aturan dan peraturan untuk pastikan rakyat tidak terkena jangkitan (COVID-19) dalam keadaan kita hadapi PRN nanti.

"Saya tahu ada yang kritik kita adakan PRN (ketika pandemik), bimbang sangat nyawa manusia terancam.

"Tapi daripada kita menyerahkan kuasa kepada 'mereka' secara itu (majoriti mudah), saya lebih sanggup mati. Saya serahkan pada rakyat untuk menentukan dan yakin rakyat tahu menilai," katanya.

Dalam sidang media terbabit, Shafie turut memberitahu beliau sudah memaklumkan mengenai persediaan menghadapi PRN kepada pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH).

Shafie juga turut menambah pihaknya akan menyusun atur dengan baik mengenai penentuan calon di 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 8:36 AM