MUHAMMAD SANUSI MD NOR
MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Noorazura Abdul Rahman


PENGUATKUASAAN dan pemantauan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dipertingkatkan di seluruh Kedah khususnya, Kubang Pasu susulan wujudnya kluster Sivagangga.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya turut mewajibkan penggunaan aplikasi MySejahtera bagi memudahkan pengesanan kontak dalam mencegah penularan Covid-19.

"Sekarang tak boleh nak elak lagi, penggunaan buku catatan pula hanyalah alternatif bagi individu yang tidak mempunyai telefon pintar tapi saya yakin majoriti semua ada telefon pintar.

"Kita juga menyeru kepada semua pemilik premis perniagaan di Kubang Pasu dan premis di daerah lain supaya mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri Khas Covid-19 Kedah di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, pusat kuarantin akan diaktifkan semula berdasarkan keperluan, termasuk mewartakan beberapa premis yang akan diumumkan kemudian.

Menurutnya, pusat itu penting selepas ada beberapa individu yang dikesan melanggar arahan kuarantin di rumah.

"Individu yang pakai gelang pink keluar rumah, ini yang kita bimbang, jadi kerjasama semua pihak terutama rakyat sangat penting ketika ini.

"Pastikan tiada penularan baharu terutama ketika kita menyambut Hari Raya Aidiladha esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 5:18 PM