Dua lelaki yang ditahan PPM selepas disyaki terbabit dalam kegiatan bom ikan di  kawasan perairan Pitas di Kudat semalam. Foto Juwan Riduan
Dua lelaki yang ditahan PPM selepas disyaki terbabit dalam kegiatan bom ikan di kawasan perairan Pitas di Kudat semalam. Foto Juwan Riduan
Juwan Riduan

PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan dua lelaki yang disyaki menjalankan kegiatan menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasan perairan Pitas di Kudat semalam.

Dalam kejadian 9.50 pagi itu, kedua-dua lelaki berusia 55 dan 56 tahun itu ditahan sepasukan anggota dan pegawai PPM Kudat dalam Op Gelora Khas.

Pegawai Pemerintah PPM Kudat Asisten Superintendan Rizauddin Selamat berkata, bot ronda PPM Kudat yang sedang melakukan pemantauan di kawasan laut Tanjung Berungus mengesan sebuah bot yang mencurigakan.

Menurutnya, sebaik cuba dihampiri, bot berkenaan terus melarikan diri ke kawasan cetek sebaik menyedari kegiatan mereka dihidu pasukan PPM.

"Bagaimanapun, cubaan dua lelaki terbabit gagal apabila mereka berjaya ditahan bot PPM.

"Hasil pemeriksaan di dalam bot berkenaan membawa kepada penemuan peralatan yang dipercayai digunakan untuk mengebom ikan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Rizauddin berkata, semua barangan yang berjaya dirampas termasuk bot dianggarkan berjumlah RM13,850.

Katanya, rampasan kemudiannya dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 11:56 PM