ANGGOTA APMM menemui peralatan membuat bahan letupan dalam bot pam di perairan Pulau Sapi, Kota Kinabalu. IHSAN APMM
ANGGOTA APMM menemui peralatan membuat bahan letupan dalam bot pam di perairan Pulau Sapi, Kota Kinabalu. IHSAN APMM
Junaidi Ladjana


EMPAT lelaki disyaki tangkap ikan guna bahan letupan bertindak terjun ke laut apabila dihampiri Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) di 0.2 Batu Nautika dari Pulau Sapi, Kota Kinabalu, malam tadi.

Semua suspek terbabit gagal dikesan dan dikatakan melarikan diri ke pulau berkenaan, dalam kejadian 9.15 malam.

Pengarah APMM Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz, berkata Bot Ronda 7 KM Banggi yang sedang dalam operasi Sejahtera mengesan satu bot pam yang bergelap dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika cuba dihampiri, bot itu bertindak agresif dengan memecut laju mengelak daripada diperiksa oleh anggota APMM menuju ke kawasan cetak perairan Pulau Sapi dan terjun melarikan diri.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot itu menemui bahan-bahan untuk membuat bahan letupan dan beberapa kelengkapan peralatan menyelam," katanya, hari ini.

Menurutnya, bot pam kemudian ditahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan kaedah bom ikan.

"APMM memandang serius kegiatan menangkap ikan guna bom. Operasi secara berterusan dilakukan bagi membendung kejaduan ini berleluasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2017 @ 10:23 AM