GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Hazira Ahmad Zaidi


MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membenarkan solat sunat Aidiladha diadakan di semua masjid dan surau di seluruh negeri Kelantan namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Yang Dipertua MAIK yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah jemaah adalah berdasarkan kapasiti sebenar selepas mengambil kira keperluan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter antara jemaah termasuk di anjung dan perkarangan masjid dan surau.

Beliau berkata, perkara berkenaan mendapat perkenan daripada Sultan Muhammad V dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan sebagai Ketua Agama Islam sebagaimana peruntukkan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

"Solat Sunat Hari Raya Aidiladha di masjid dan surau dalam tempoh PKPP ini adalah dibenarkan kecuali kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Masjid dan surau hanya akan dibuka sejam sebelum waktu solat sunat Aidiladha dan ditutup selepas solat disempurnakan.

"Jemaah wanita dibenarkan hadir bersolat, namun keutamaan hendaklah diberikan kepada jemaah lelaki sekiranya tempat bersolat di masjid tidak mempunyai ruang yang mencukupi bagi semua jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha," katanya dalam kenyataan, di Kota Bharu, hari ini.

Katanya, jemaah yang bergejala atau menghidap penyakit kronik dan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan hadir.

"Bagi jemaah yang berumur 70 tahun ke atas hanya 30 orang sahaja yang dibenarkan dan mereka ditempatkan di tempat yang khusus bagi masjid yang berkapasiti 500 ke atas.

"Semua jemaah digalakkan memakai pelitup muka dan perlu membawa sejadah sendiri serta mengambil wuduk di rumah.

"Apabila tiba di masjid dan surau, mereka perlu masuk dan keluar masjid mengikut giliran dengan beratur selain menjaga penjarakan yang terkawal," katanya.

Menurutnya, selesai menunaikan solat, jemaah tidak dibenarkan bersalaman antara satu sama lain serta tidak boleh berkumpul samada di dalam atau di luar masjid dan surau," katanya.

"Bagi membantu kawalan jemaah yang datang menunaikan solat sunat Aidiladha, jawatankuasa masjid dan surau hendaklah mempunyai petugas yang mencukupi.

"Kehadiran individu yang datang bersolat perlu menggunakan aplikasi MySejahtera atau borang daftar hadir atau direkodkan di dalam buku kehadiran yang mesti di simpan sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 11:09 AM