GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membenarkan solat sunat Aidilfitri, Jumaat serta fardu di 17 masjid negeri, bandar dan jajahan termasuk 37 masjid mukim Kategori A di negeri ini berkuat kuasa esok.

Yang Dipertuanya Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pelaksanaan solat berkenaan adalah dibenarkan untuk 50 orang jemaah sahaja.

"Bagi masjid mukim besar dan mukim kecil, hanya 20 jemaah sahaja dibenarkan, manakala surau dan musalla pula dibenarkan kepada empat kakitangan sahaja.

"Semua jemaah hendaklah berada dalam saf dengan penjarakan dua meter dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, aktiviti-aktiviti lain tidak dibenarkan dan pihaknya amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini.

"SOP ditetapkan hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pengurusan masjid, surau dan musalla. Tindakan sewajarnya akan diambil atas kegagalan untuk mematuhi SOP itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 6:38 PM