FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Penggunaan pukat pari dan pukat hanyut oleh nelayan antara punca lapan penyu agar dewasa ditemukan mati di perairan negeri ini dalam tempoh lima bulan tahun ini.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata penyu yang tersangkut pada pukat hanyut mati kerana tidak dapat naik ke permukaan air untuk bernafas.

Katanya, penggunaan pukat pari adalah satu kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) 1980 yang boleh didakwa di mahkamah.

Menurutnya, perlanggaran syarat lesen perikanan dan kesalahan berkaitan penyu boleh dikompaun sehingga RM20,000 atau didakwa di mahkamah dan vesel serta apa-apa peralatan boleh dilucut hak di bawah Akta Perikanan 1985.

"Vesel pukat tunda juga perlu mematuhi syarat lesen dengan menunda hanya di zon yang dibenarkan sahaja, pencerobohan vesel pukat tunda di zon larangan turut mengancam kehidupan penyu.

"Banyak kes penyu mati apabila tersangkut pada pukat pari dan pukat hanyut serta pukat tunda digunakan nelayan yang tidak mematuhi peraturan telah ditetapkan," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Katanya, pihaknya sentiasa berusaha mengesan nelayan yang menggunakan pukat pari dan pukat hanyut mata bersaiz lebih daripada 10 inci (25.4 sentimeter), rondaan dan pemeriksaan secara berkala dilakukan di beberapa kawasan tumpuan.

Abdullah berkata, usaha kesedaran dalam kalangan nelayan diadakan dari semasa ke semasa selain berharap mereka melaporkan sekiranya melihat penggunaan pukat yang dilarang itu digunakan.

"Usaha kita menambah jumlah penyu menerusi program pelepasan anak penyu setiap tahun tidak akan berhasil sekiranya banyak penyu mati disebabkan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah nelayan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 4:51 PM