DATUK Seri Abdul Hadi Awang. FOTO Bernama.
DATUK Seri Abdul Hadi Awang. FOTO Bernama.
Zatul Iffah Zolkiply


PAS menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan parti itu belum bersedia ketika mencadangkan pelaksanaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau lebih dikenali sebagai RUU 355.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, negeri di bawah pentadbiran Pas iaitu di Terengganu dan Kelantan sudah melaksanakannya melalui peruntukan Enakmen Syariah yang ada.

"Dia mana tahu? Terengganu sudah ada undang-undang. Kelantan pun sudah ada, cuma (tinggal di peringkat) Perlembagaan (Persekutuan) sahaja.

"Saya difahamkan Negeri Sembilan pun ada juga, Sabah pun ada kalau tak silap saya. Cuma (tinggal) proses Perlembagaan.

"Kenyataan itu dibuat oleh budak (anak muda) yang masih baharu, cuma dia tak baca habis, budak lagi (anak muda). Dia tak sempat dengan tahun 90-an. Kita tahun 90-an sudah selesai (pinda Enakmen Syariah di Terengganu dan Kelantan)," katanya.

Beliau berkata demikian ditemui selepas menyampaikan kuliah Jumaat secara dalam talian di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Exco Agama Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Abu Hafiz Salleh Hudin yang menyatakan Pas tidak mempunyai persiapan teknikal daripada segi perundangan mahu pun hujah agama ketika mencadangkan RUU 355.

Ahli Parlimen Marang itu membentangkan RUU 355 buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 sebagai RUU persendirian.

Bagaimanapun, perbahasan mengenainya ditangguhkan dan versi yang disemak semula dibentangkan pada November 2016 dan April 2017.

RUU 355 bertujuan meningkatkan bidang kuasa penghukuman mahkamah syariah bagi kesalahan jenayah syariah, namun ia hanya di peringkat mengemukakan usul tanpa perbahasan.

Ketika diminta mengulas mengenai pengagihan kerusi antara Perikatan Nasional (PN), Abdul Hadi berkata, rundingan di antara ketiga-tiga parti itu masih berlangsung.

"Tidak timbul (isu negeri idaman parti-parti tertentu) kerana perbincangan dibuat membabitkan pimpinan tertinggi parti dan bukannya peringkat negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 3:44 PM