Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Beberapa pihak yang sebelum ini berpolemik mengenai cadangan meminda Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau lebih dikenali sebagai Akta 355 sudah senada dalam menyatakan sokongan terhadap perkara itu.

UMNO, PAS dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam forum mega Pemantapan Syariat: Tanggungjawab Parlimen dan Hak Umat Islam, di Dewan Muktamar Pusat Islam di sini, semalam mengeluarkan pandangan selari untuk menyokong pemindaan usul itu sekiranya bersifat memperkasakan lagi fungsi Mahkamah Syariah di negara ini.

Biarpun wujud sedikit percanggahan pandangan Ketua Wanita AMANAH Dr Siti Mariah Mahmud, namun beliau menegaskan bagi pihak parti itu tiada masalah untuk menyokong dengan memperbetulkan beberapa aspek teknikal.

Selain Dr Siti Mariah yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, ahli panel forum dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang juga mewakili UMNO, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyudin Hassan serta Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) Prof Datuk Mahamad Naser Disa.

“Menyokong pemantapan Mahkamah Syariah tetapi RUU itu (Akta 355) saya kata kena ada pindaan tertentu. Jika ada hukuman tanpa had di situ dan jenis hukuman juga tidak disebut maka begitu jugalah yang akan digubal,” katanya.

Takiyudin pula berharap penegasan Dr Siti Mariah itu akan menjadi suara konkrit mewakili AMANAH untuk menyokong pindaan Akta 355 yang mulanya diusulkan pada 26 Mei lalu oleh Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang.

“PAS juga bersedia menerima mana-mana cadangan daripada parti lain termasuk AMANAH, PKR dan DAP jika mahu mengusulkan pindaan RUU itu dalam Persidangan Parlimen akan datang,” katanya.

Dr Asyraf Wajdi pula berkata, RUU 355 bukan jalan belakang bagi pelaksanaan hudud di negara ini sebaliknya adalah usaha memartabatkan masyarakat majoriti Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2016 @ 5:16 AM