Norzamira Che Noh


LELAKI Bangladesh mengaku salah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini, atas pertuduhan memberi suapan sebanyak RM5,000 kepada anggota polis pada Mac lalu.

Md Nur Islam, 32, yang bekerja sebagai buruh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi suapan sebanyak RM5,000 kepada seorang anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, jam 9.20 malam, 13 Mac lalu.

Tertuduh didakwa melakukan perkara itu sebagai balasan kepada anggota polis untuk melepaskan dua rakan tertuduh yang ditahan atas kesalahan memiliki rokok seludup di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Md Nur ditawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia dan diminta hadir lapor diri di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada minggu pertama setiap bulan dan pasportnya disimpan di mahkamah.

Rihaida menetapkan 24 Ogos ini untuk dijatuhkan hukuman dan turut memanggil jurubahasa Bangladesh supaya tertuduh lebih memahami kes.

MD Nur didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan memberikan suapan RM5,000 kepada anggota polis. FOTO Faiz Anuar
MD Nur didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan memberikan suapan RM5,000 kepada anggota polis. FOTO Faiz Anuar

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 2:36 PM