Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Seorang koperal polis didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima rasuah RM1,000 daripada seorang wanita warga Thailand, tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Jefri Azizi Mohamad, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas didakwa memperoleh rasuah sebanyak RM1,000 daripada Mohammad Salam Ibrahim.

Perbuatan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Miss Masiyaton Huseng yang melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana memiliki pas sempadan tamat tempoh.

Kesalahan itu dilakukan di Tasek Raja, Bandar Baru Pasir Mas jam 12.40 tengah hari pada 1 Jun tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Seorang koperal polis, Ahmad Jefri Azizi Mohamad, 41, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM1,000 daripada seorang wanita warga Thailand, tahun lalu. di Tasek Raja, Bandar Baru Pasir Mas. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Seorang koperal polis, Ahmad Jefri Azizi Mohamad, 41, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM1,000 daripada seorang wanita warga Thailand, tahun lalu. di Tasek Raja, Bandar Baru Pasir Mas. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Hamizah Ghazali, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Nadia Mohd Nordin.

Terdahulu, Nor Hamizah memohon mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan syarat tambahan agar pasport diserahkan kepada mahkamah selain tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Nur Nadia bagaimanapun memohon ikat jamin sebanyak RM5,000 kerana anak guamnya menanggung seorang dan dua anak yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan selain tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah juga menetapkan 31 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 1:46 PM