AZMI Osman (tiga kanan) merasmikan Program Kesedaran Keselamatan Aktiviti di Air di Teluk Batik, Lumut, hari ini. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
AZMI Osman (tiga kanan) merasmikan Program Kesedaran Keselamatan Aktiviti di Air di Teluk Batik, Lumut, hari ini. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengambil inisiatif apabila menyediakan peralatan menyelamat dikenali sebagai LiSA dalam berdepan kejadian lemas di Pantai Teluk Batik, Lumut.

Pengarahnya, Azmi Osman berkata, ia adalah langkah pertama kali dilakukan dengan kerjasama Tourism Perak sebagai bantuan awal untuk menyelamatkan mangsa lemas.

Menurutnya, antara peralatan disediakan dalam LiSA ialah pelampung, jaket keselamatan dewasa serta kanak-kanak, 'throwbag rope' dan peti pertolongan kecemasan.

"Pantai peranginan ini menjadi tumpuan ramai dan kami mengambil langkah meletakkan LiSA sebagai persiapan untuk menyelamatkan nyawa sekiranya ada kejadian lemas di pantai.

"Pengunjung hanya perlu memecahkan cermin untuk mengambil kunci bagi membuka pintu sebelum mengambil peralatan disediakan bagi membantu mangsa dan LiSA juga dilengkapkan dengan siren," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian Program Kesedaran Keselamatan Aktiviti di Air di pantai Teluk Batik, Lumut, hari ini.

Pada program itu, anggota bomba turut mengadakan demonstrasi menyelamat mangsa lemas bagi memberi pendedahan kepada orang ramai.

Azmi berkata, ketika ini inovasi membabitkan kos RM2,000 sebuah hanya ditempatkan di pantai Teluk Batik sebagai percubaan untuk tempoh enam bulan.

Katanya, penggunaannya akan diperluaskan ke seluruh kawasan tumpuan pelancong membabitkan aktiviti air di negeri ini.

"LiSA akan diletakkan sekurang-kurangnya dua atau tiga buah di kawasan tumpuan seperti di Pulau Pangkor, Tasik Cermin dan Tasik Banding selepas melihat keberkesanan tinggi serta tiada vandalisme berlaku.

"Kita juga akan menempatkan anggota bomba pada hujung minggu dengan kolaborasi bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

"Bagaimanapun, pengunjung perlu peka dengan aspek keselamatan selain dapat menjaga peralatan ini supaya tidak rosak," katanya.

Sementara itu, Azmi berkata, JBPM Perak merekodkan sembilan kes lemas membabitkan 10 kematian dari awal tahun ini sehingga kini.

"Untuk tahun lalu, Perak mencatatkan 24 kes lemas membabitkan 24 kematian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 3:26 PM