PANTAI Teluk Batik. FOTO Arkib NSTP
PANTAI Teluk Batik. FOTO Arkib NSTP
Muhamad Lokman Khairi

Lumut: Dua pelancong termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) dilaporkan selamat selepas ditemukan lemas apabila bot rekreasi yang dinaiki mereka terbalik di Pantai Teluk Batik, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 10.58.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, setibanya jentera, didapati mangsa lelaki yang juga OKU berusia 17 tahun dan mangsa wanita berusia 34 tahun sudah dibawa ke daratan oleh orang awam.

"Komander operasi kemudian mengarahkan anggota bomba memberikan bantuan kecemasan pernafasan atau cardiopulmonary resuscitation (CPR) kepada kedua-dua mangsa.

"Mangsa lelaki kemudian sedar semula lalu dihantar ke Hospital Seri Manjung, manakala terdapat perubahan positif bacaan nadi pada mangsa wanita yang turut dibawa ke hospital sama.

"Kedua-dua mangsa adalah pelancong dan tiada pertalian keluarga," katanya.

Katanya, bot rekreasi berkenaan dinaiki sembilan individu daripada dua keluarga termasuk dua kru yang mengendalikannya.

"Tiada mangsa yang hilang, kesemua sembilan individu yang menaiki bot berkenaan selamat dibawa naik ke darat. Operasi tamat jam 12.15 tengah hari tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 2:04 PM