Lelaki yang dilaporkan hilang selepas mandi di Pantai Teluk Batik, Lumut, semalam ditemui lemas, hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
Lelaki yang dilaporkan hilang selepas mandi di Pantai Teluk Batik, Lumut, semalam ditemui lemas, hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
Noor Hidayah Tanzizi


LELAKI yang dilaporkan hilang selepas mandi di Pantai Teluk Batik, Lumut, semalam ditemui lemas, hari ini.

Mayat R Vigneis, 22, ditemui Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor di celahan batu pada 2.20 petang.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mangsa ditemui dalam keadaan terapung pada jarak 50 meter daripada persisiran pantai.

"Anggota memindahkan mangsa ke dalam bot menggunakan pengusung sebelum dibawa ke kawasan selamat.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi tamat sepenuhnya pada 2.48 petang," katanya.

Harian Metro semalam, melaporkan mangsa hilang manakala rakannya ditemui lemas selepas mandi di pantai berkenaan.

Rakannya, S Emmanuel Raj, 21, yang ditemui pada 6.55 petang pada hari kejadian disahkan meninggal dunia jam 7.20 malam.

Kedua-dua mangsa terbabit datang ke pantai berkenaan bersama enam rakan lain dari Ipoh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2020 @ 4:10 PM