Ronald Kiandee (tiga dari kanan) melepaskan benih ikan sempena Program Libat Urus  bersama myKomuniti Perikanan (myKP) Pengkalan Gawi dan Program Pelepasan Benih ke Perairan Umum di Sungai Leban, Tasik Kenyir. FOTO Zaid Salim
Ronald Kiandee (tiga dari kanan) melepaskan benih ikan sempena Program Libat Urus bersama myKomuniti Perikanan (myKP) Pengkalan Gawi dan Program Pelepasan Benih ke Perairan Umum di Sungai Leban, Tasik Kenyir. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


PESTA memancing bakal menjadi satu lagi aktiviti pelancongan di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, bagi mengisi kalendar Tahun Melawat Kenyir (TMK) 2021.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Razali Idris berkata, ia akan diadakan menjelang musim monsun setiap tahun.

"Mengikut perancangan, TMK akan diadakan pada 2022, tetapi kita awalkan ke tahun depan dengan pengisian pelbagai program dan aktiviti yang disediakan kepada pengunjung, termasuk pesta memancing.

"Kita yakin pesta memancing yang dijadualkan bermula Oktober hingga Disember mampu menarik lebih ramai pelancong dan peminat aktiviti itu untuk datang ke Tasik Kenyir," katanya ketika ditemui pada program Lawatan Kerja Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee ke Tasik Kenyir, hari ini.

Menurutnya, pemilihan musim monsun dibuat berdasarkan ikan di tasik itu yang dikatakan paling banyak berkumpul pada Oktober, November dan Disember.

"Kita akan adakan acara ini selama tiga bulan berturut-turut dan ia juga adalah sebagai penutup TMK setiap tahun," katanya.

Beliau berkata, bagi menjayakan pesta itu, Ketengah dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia akan membekal satu juta anak ikan kelah, baung dan sebarau yang akan dilepaskan di sungai Leban dan Tokok.

Razali berkata, Ketengah juga akan mewartakan dua sungai berkenaan sebagai zon larangan memancing dan sebarang bentuk aktiviti penangkapan ikan selain hanya dibenarkan untuk tujuan pesta berkenaan sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 5:09 PM