Baharom Bakar


Kuala Berang: Kecuaian dikenal pasti punca utama menyebabkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun lemas di kawasan Air Terjun Lasir, Tasik Kenyir, di sini, Jumaat lalu.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Senator Datuk Razali Idris berkata, jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menyiasat kejadian itu mendapati berlaku kecuaian terutama membabitkan kegagalan pemakaian jaket keselamatan ketika kejadian.

Beliau berkata, jawatankuasa siasatan yang turut dianggotai Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir turut mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan keselamatan pengunjung.

"Antara cadangan dikemukakan dan dipersetujui untuk dilaksanakan Ketengah adalah mewajibkan pemakaian jaket keselamatan kepada semua pengunjung termasuk kanak-kanak.

"Pemakaian jaket keselamatan bukan sahaja dihad kepada pengunjung yang menyewa bot laju, sebaliknya ketika berada dalam rumah bot serta melakukan aktiviti di Tasik Kenyir," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ketengah Holding Sdn Bhd (KHSB), Mohd Zaid Sulaiman dengan kerjasama Jabatan Penerangan negeri mengadakan kempen pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan kempen keselamatan kepada lebih 1,000 pengunjung di Tasik Kenyir.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Turut menyertai kempen pematuhan SOP dan keselamatan itu adalah Pegawai Penerangan daerah Hulu Terengganu, Abidin A Ghani.

Bagaimanapun, Razali enggan mengulas lanjut dan menuding jari menyalahkan sesiapa yang menjadi punca kecuaian sehingga menyebabkan kanak-kanak, Muhammad Al-Fateh Muhammad Khairul Aiman lemas selepas terjatuh dari rumah bot pada 8.20 malam Jumaat lalu.

Razali berkata, Ketengah bersetuju mewujudkan pasukan penyelamat dan akan ditempatkan di beberapa lokasi yang menjadi tumpuan utama pengunjung.

Katanya, operator rumah bot dan pemandu bot laju serta pengusaha rumah rakit yang beroperasi di Tasik Kenyir diarahkan mengikuti kursus bantuan pertolongan cemas.

"Kita bersetuju memperkenalkan skim perlindungan insurans berkelompok kepada semua pengunjung.

"Kita sedang mengenal pasti kaedah sesuai akan digunakan bagi mengelakkan pengunjung terbeban dengan bayaran kos tambahan untuk skim perlindungan insurans berkelompok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 4:28 PM