Zatul Iffah Zolkiply


PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia memberi kesan terhadap aspek kesihatan, sosial, ekonomi dan keselamatan termasuk Malaysia.

Hampir setahun virus berbahaya itu berada di muka bumi, hampir 70 juta kes Covid-19 dilaporkan di seluruh dunia dengan kira-kira 1.5 juta kematian dilaporkan manakala lebih 40 juta kes dilaporkan pulih.

Di negara ini, kes positif Covid-19 sudah mencecah lebih 100,000 kes dengan lebih 67,000 kes dilaporkan sembuh sementara lebih 400 kematian direkodkan.

Melihat impak Covid-19, pelbagai usaha dilakukan kerajaan dalam merancakkan kembali ekonomi negara demi kelangsungan semua pihak termasuk Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) selaku agensi yang bertanggungjawab menguruskan tasik buatan manusia iaitu Tasik Kenyir di Hulu Terengganu, Terengganu.

Tasik yang berkeluasan 38,000 hektar itu boleh diibaratkan syurga bagi pencinta alam semula jadi dengan keindahan flora dan fauna menyebabkan Ketengah sentiasa merangka pelbagai program menarik untuk menarik perhatian pengunjung.

Selain Festival Kenyir yang diadakan saban tahun, Ketengah kali ini membuat kelainan apabila menganjurkan Tahun Melawat Kenyir 2021 (TMK2021) bagi meningkatkan kapasiti ekonomi penggiat pelancongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Seperti sektor pelancongan yang lain, Tasik Kenyir turut menerima tempias disebabkan Covid-19.

KENYIR Fishing Grand Prix pada Januari, Julai, September dan Disember dijangka menjadi tarikan.
KENYIR Fishing Grand Prix pada Januari, Julai, September dan Disember dijangka menjadi tarikan.

Malah, penduduk setempat turut merasai kesannya dan TMK2021 dirancang bagi merancakkan kembali ekonomi di kawasan berkenaan.

Pengerusi Ketengah Senator Datuk Razali Idris berkata, TMK2021 bertemakan Kenyir Semula Jadi memberi penekanan kepada empat objektif iaitu menjadikan Tasik Kenyir sebagai Top of the Minda, Tourist Destination; destinasi pelancongan eko dan alam semula jadi yang berprestij; memperkasakan industri pelancongan di Tasik Kenyir dan mendidik pengusaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik.

Beliau berkata, pihaknya merancang pelbagai aktiviti sepanjang tahun sempena TMK2021 termasuk musim tengkujuh.

"Insya-Allah bermula tahun depan, Tasik Kenyir akan dibuka sepanjang masa dengan pengisian program menarik sepanjang tahun," katanya.

Menurutnya, sedar akan kegilaan kaki pancing dengan ikan air tawar seperti toman, lampam, baung, patin dan belida, Ketengah akan menganjurkan Kenyir Fishing Grand Prix pada Januari, Julai, September dan Disember.

"Kita merancang aktiviti yang berbeza di setiap bulan berdasarkan landskap dan kelebihan yang ada di satu-satu lokasi kerana mahu pengunjung menikmati keunikan dan keindahan yang ada di Tasik Kenyir secara menyeluruh.

"Antara pengisian lain yang mampu merancakkan lagi sektor ekonomi di sini adalah Kenyir Bird & Nature Quest, Kenyir Bermunajat, Kenyir Fun Ride, Kenyir Explorace dan Kenyir Festival," katanya.

Razali berkata, jika sebelum ini, pengunjung mungkin beranggapan mereka hanya boleh melakukan aktiviti santai seperti memancing, mandi dan berjalan di sekitar taman yang ada namun kita turut menawarkan aktiviti yang ekstrim untuk mereka yang sukakan cabaran.

BERMAIN dengan ikan kelah yang jinak di Santuari Kelah Tasik Kenyir umpama terapi yang mampu menghilangkan tekanan seharian.
BERMAIN dengan ikan kelah yang jinak di Santuari Kelah Tasik Kenyir umpama terapi yang mampu menghilangkan tekanan seharian.

"Kenyir Mount Gagau Challenge, Kenyir Open Water Swimming & Stand Up Paddleboard Festival, Jetrace Challenge Kenyir Lake, Kenyir Explore 4x4 adalah antara aktiviti yang akan kita tonjolkan kepada pengunjung.

"Landskap yang ada di tasik ini sesuai untuk pelbagai sama ada santai atau ekstrim sebab itu kita cuba tonjolkan benda yang baharu supaya semua anugerah yang ada di sini dapat diterokai dan dihayati sepenuhnya oleh semua lapisan masyarakat," katanya.

Razali berkata, apa yang dirancang bukan hanya semata-mata mahu merancakkan sektor pelancongan sama ada di peringkat pusat atau negeri tetapi mahu membantu ekonomi masyarakat setempat yang terjejas kerana Covid-19.

"TMK2021 adalah inisiatif kita untuk menaikkan kembali nama Tasik Kenyir dan berharap semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing bagi memastikan apa yang dirancang ini mencapai sasaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 8:15 AM