Tasik Kenyir antara tarikan pelancongan di Terengganu. FOTO Arkib NSTP
Tasik Kenyir antara tarikan pelancongan di Terengganu. FOTO Arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Berang: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan memberikan geran mudah kepada pengusaha industri pelancongan dan usahawan yang terjejas susulan penularan pandemik Covid-19.

Pengerusi Ketengah Senator Datuk Razali Idris berkata, pemberian geran mudah itu bagi membantu pengusaha dan usahawan termasuk 120 pengusaha di Tasik Kenyir memulakan semula perniagaan mereka.

Beliau berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan secara berperingkat sejak tahun lalu menyebabkan pengusaha pelancongan terutama di Tasik Kenyir mengalami kerugian kerana tidak dapat beroperasi sepenuhnya.

"Kita bantu sebaik mungkin pengusaha dan penduduk di Wilayah Ketengah selain kerajaan sendiri ada memberikan pelbagai bantuan seperti moratorium dan bakul makanan.

"Namun untuk membina semula perniagaan, saya rasa ia satu keperluan semasa dan sebab itu, kita sedang mengkaji perkara ini dan Insya-Allah, kita akan beri satu geran mudah untuk mereka ini memulakan semula perniagaan," katanya ketika ditemui pada Program Outreach Vaksinasi Sektor Pelancongan Tasik Kenyir di Pengkalan Gawi Tasik Kenyir, di sini, semalam.

Mengulas mengenai Tahun Melawat Kenyir 2021 (TMK2021), Razali berkata, penganjuran TMK2021 bertujuan merancakkan kembali ekonomi dan sektor pelancongan yang terjejas kerana Covid-19.

"Mengikut perancangan, kita menyediakan satu program setiap bulan namun ia tidak dapat direalisasikan kerana Covid-19 tetapi jika sektor pelancongan dibuka penghujung Ogos ini atau September, kita mungkin akan mengadakan antara dua hingga tiga program pada setiap bulan untuk bantu semua pengusaha pelancongan di sini.

"Namun sekiranya kita tidak berjaya melaksanakan satu pun program yang dirancang tahun ini, kita akan bawa (program yang dirancang) ke tahun depan kerana kita sudah memperuntukkan RM3 juta bagi menjayakan TMK2021 dengan tujuan kita untuk bantu pengusaha di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 2:54 PM