11 pekerja asing yang ditahan. FOTO IHSAN JPN.
11 pekerja asing yang ditahan. FOTO IHSAN JPN.
Suraya Roslan


AKIBAT berselindung di sebalik identiti warga Malaysia, seramai 11 pekerja kilang warga Indonesia dan Filipina ditahan kerana memiliki kad pengenalan palsu, semalam.

Operasi dilakukan sepasukan 20 anggota penguatkuasa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan (BSK) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sebuah kilang di Jalan Bukit Kemuning, Batu 6, Shah Alam, pada 7 pagi.

JPN dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima aduan awam berhubung terdapat pekerja di kilang berkenaan menggunakan kad pengenalan palsu.

"Hasil pemeriksaan di kilang berkenaan berjaya menahan lapan wanita dan tiga lelaki berusia 30 hingga 58 tahun yang juga warga asing.

"Mereka didapati melakukan kesalahan memiliki kad pengenalan palsu dan dibawa ke Mahkamah Shah Alam untuk tindakan lanjut, hari ini," katanya.

Menurutnya, operasi itu bertujuan mencegah dan membanteras aktiviti pemalsuan dan penyalahgunaan kad pengenalan.

Katanya, pengurusan kilang diingatkan supaya memastikan mengambil pekerja yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"JPN tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang didapati terbabit dalam kegiatan menyalahi undang-undang.

"Operasi penguat kuasaan akan sentiasa dilaksanakan di seluruh negara bagi membanteras penyalahgunaan dokumen kad pengenalan," katanya.

Katanya, orang ramai diseru tampil memberikan maklumat berhubung sebarang penyelewengan dengan mengemukakan maklumat ke emel rasmi JPN iaitu [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 2:42 PM