DR Noor Hisham ketika sidang media harian Covid-19 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
DR Noor Hisham ketika sidang media harian Covid-19 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Raja Noraina Raja Rahim


"SEKARANG ini kebimbangan kita ialah rakyat leka dan kembali kepada kehidupan normal," kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, unjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menjangkakan sifar kes penularan tempatan pada hari ini tepat dan ia petanda baik.

"Kita lihat kes penularan tempatan adalah sifar hari ini dan kebanyakan kes adalah jangkitan luar negara yang kita tak dapat kawal.

"Dalam negara yang kita boleh kawal sudah pun mencapai satu angka atau sifar," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, walaupun kes baharu dalam negara mencatatkan sifar, namun virus itu masih wujud dan rakyat perlu mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) disarankan KKM.

"Virus itu boleh merebak kalau kita leka dan tidak mengambil tindakan pencegahan serta menjaga kebersihan," katanya.

Beliau berharap orang ramai terus mengamalkan normal baharu bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 7:25 PM