DR Noor Hisham pada sidang media situasi semasa jangkitan Covid-19 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DR Noor Hisham pada sidang media situasi semasa jangkitan Covid-19 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid dan Mahaizura Abd Malik

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengklasifikasikan 207 kes daripada jumlah keseluruhan positif Covid-19 di seluruh negara setakat ini sebagai sporadik.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu dirumuskan berdasarkan pengumpulan data kes kumulatif sejak hari pertama wabak itu dikesan di negara ini.

"Kalau kita lihat 207 kes sporadik itu daripada hari pertama kita akan kumpulkan kes kumulatif tetapi jika kita lihat dalam tempoh dua minggu kita hanya dapat tiga kes iaitu dua kes pesakit Influenza (ILI) dan satu kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI).

"Jadi kes survalen kita semakin berkurangan, itu menunjukkan virus dalam komuniti semakin berkurangan tetapi (tidak dinafikan) masih ada dalam komuniti," katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Oleh itu katanya, negara bergantung sepenuhnya kepada pematuhan rakyat dalam setiap aspek prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan KKM bagi memutuskan jangkitan Covid-19 di negara ini.

"Jika dibandingkan pada awal April kes SARI dan ILI semakin meningkat ketika itu jadi kalau kawalan kita baik kita boleh putuskan penularan dalam jangkitan masyarakat contohnya duduk di rumah.

"Ini masih KKM sarankan supaya semua duduk rumah kalau tiada urusan di luar tetapi kalau terpaksa keluar pastikan kita amalkan penjarakan sosial terutama di kawasan sempit selain memakai pelitup muka dan kerap basuh tangan.

"Kalau tidak boleh (amalkan) kita kena ambil tindakan yang disarankan KKM jadi sekarang ini kita bergantung sepenuhnya kepada rakyat Malaysia patuh kepada SOP.

"Kalau kita hendak berjaya putuskan penularan Covid-19, rakyat perlu bersatu dengan KKM untuk kita sama-sama putuskan jangkitan ini dalam masyarakat kita," katanya

Untuk rekod, sporadik membabitkan kes individu yang tidak mempunyai sejarah perjalanan dan tidak berhubung dengan kontak rapat Covid-19, namun tetap diuji positif virus itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 7:55 PM